loading...
Sebelum saya memulakan tulisan saya untuk kali ini, izinkan saya untuk memohon beribu-ribu ampun dan maaf kepada semua rakan-rakan ‘Road To Japan’ yang ramai menghubungi saya bertanyakan mengenai peluang bekerja di Jepun, tetapi tidak mendapat respons yang memuaskan dan jawapan yang mungkin menghampakan dari saya.
Di sini saya akan terangkan beberapa elemen yang menyebabkan kehampaan itu terpaksa dirasai supaya ramai akan faham situasi sebenar kenapa sangat susah nak mendapatkan peluang pekerjaan di Jepun.
Penerangan saya ini berdasarkan apa yang telah dilalui serta pengalaman dalam bidang yang saya ceburi. Saya tidak akan memberi penerangan sewenang-wenangnya mengenai pekerjaan yang di luar bidang dan pengalaman saya, takut nanti ramai akan salah faham dan maklumat mungkin menjadi tidak tepat.
Berikut 5 elemen teknikal yang menjadi punca saya diterima untuk bekerja di sana:
- Lulus dari kolej di Jepun di dalam bidang kejuruteraan.
- Boleh berbahasa Jepun termasuk menulis dan membaca.
- Mengesahkan telah mendapat pekerjaan sebelum tamat pengajian.
- Mendapat perlepasan dari pihak yang menaja kita belajar di Jepun.
- Mempunyai visa yang sah, dari Visa Pelajar berubah ke Visa Kerja
Berikut 16 elemen utama yang perlu ada untuk anda bekerja di Jepun dari segi rohani, jasmani dan mental:
1. Mempunyai niat yang ikhlas.
2. Mempunyai matlamat dan visi yang jelas kenapa anda harus bekerja di sana.
3. Mempunyai pegangan akidah yang kuat supaya anda tidak hanyut dengan cara hidup di sana.
4. Mempunyai mental yang kuat untuk menghadapi KESUNYIAN di tahap kritikal.
5. Tidak goyah dan kalah dengan nafsu tekak anda, yang menyebabkan anda mengalah tak boleh bertahan kerana takde rasa belacan pedas masam dan sebagainya, perlu survive mengisi perut dengan apa yang ada di sekeliling anda.
6. Bersedia untuk merubah sikap keseluruhannya. Perlu belajar menerima dan meresapi tatacara bekerja cara orang Jepun. MC? Datang lambat? balik awal? Nak pergi bank? Maaf. Sila pulang.
7. Tidak merungut gaji kecil dan pelbagai jenis kerja akan dipertanggungjawabkan ke atas anda.
8. Bersedia untuk mengalami amalan ‘Diskriminasi’ dari para senior anda. Jangan salah faham bukan diskriminasi bangsa atau kaum ya. Jika kena ketuk kepala dan anda balas balik, sila pulang juga.
9. Bersedia untuk menghadapi pelbagai tekanan ‘komunikasi’. Anda fikir anda faham dari segi bahasa, tapi dari segi nuans-nya memberi maksud berlainan.
10. Bersedia untuk menghadiri pelbagai acara tahunan syarikat yang hampir 90% anda perlu melayani rakan sekerja yang mabuk.
11. Bersedia untuk menyesuaikan diri bergaul dengan masyarakat di sana, ada ketikanya anda akan dilantik menjadi AJK kawasan perumahan anda dan mematuhi peraturan-peraturan kawasan setempat.
12. Pandai berjimat cermat. Nafsu untuk beli gadjet, kereta dan aksesori, barang elektrik elektronik, barang pancing dan sebagainya perlu dibendung.
13. Mempunyai ketahanan fizikal untuk menghadapi cuaca empat musim. Banyak kes ramai tak tahan sejuk nak balik Malaysia.
14. Mempunyai ketahanan jiwa raga kalau ada makwe pakwe kat Malaysia tu yang selalu suruh “Pulanglah”, ha pandai-pandai lah nak pujuk. Ramai juga gagal bahagian ni.
15. “YAKIN”. Yakin yang anda boleh untuk terus bekerja dan hidup di Bumi Sakura! Anda tak yakin anda akan goyah. Anda goyah, akan datang satu penyakit yang diberi nama ‘Utsubyo’ berkaitan mental.
16. Perlu berkorban untuk mempunyai cara pemikiran seperti orang Jepun. Dalam konteks lain “Nihonjin ni naru” atau ingin menjadi orang Jepun, supaya tubuh, naluri dan perasaan jadi sebati dan mudah untuk bergaul bekerja bermasyarakat dengan orang Jepun. Tapi bukan bermaksud anda buang semua pakaian asal anda. Jika tidak, pertembungan kendiri akan berlaku!
Buang segala ego, tetapi perlu ada ego untuk berjaya!
Jadi saya suka nasihatkan di sini, jika anda gagal salah satu di atas maaf tiada harapan untuk berada lama di sana. Setakat alasan nampak syoknya kerja di Jepun, bosan kerja di Malaysia dan pelbagai alasan yang tidak kukuh, sila lupakan.
Elemen lain yang turut mempengaruhi:
- Negara Jepun, bangsanya hanya satu iaitu bangsa Jepun.
- Bangsa ini bangga dan lebih percaya kepada kemahiran rakyat mereka sendiri.
- Jadi mereka tidak memerlukan bangsa luar untuk memenuhi keperluan tenaga kerja di negara mereka (kecuali ada sektor tertentu seperti IT).
- Tetapi tidaklah bermakna mereka mengamalkan diskriminasi terhadap bangsa lain, tidak. Jika anda ingin menyelusup masuk dalam masyarakat mereka, anda perlu bersedia dan ada kemahuan untuk berjaya menghadapi cabaran-cabaran yang saya sebutkan di atas.
Jadi memang benarlah tiada jalan lain untuk mencari ruang peluang bekerja di sana? Maaf saya tak boleh beri ulasan tentang ini kerana tiada pengalaman.
Cuma apa yang saya tahu, berikut antara jalan lain yang turut boleh dilakukan jika anda bukan lulusan mana-mana kolej atau universiti di Jepun:
- Memohon mana-mana syarikat Jepun di Malaysia, tunggu peluang untuk dihantar training ke sana.
- Memohon program WWOOF (World Wide Opportunities on Organics Farm).
- Berkahwin dengan Warganegara Jepun. Anda akan diberikan Spouse Visa untuk tinggal di sana dan memohon kerja part time.
- Belajar bahasa Jepun di sana dengan wang sendiri (boleh mohon visa pelajar), dan bekerja secara sambilan sambil belajar. Kalau ada rezeki dan anda dah fasih berbahasa Jepun mungkin ada peluang untuk diambil bekerja dengan kenalan di sana (pernah berlaku pada kenalan saya dari Malaysia).
Tapi kos dan belanja di Jepun teramat mahal. Kena ambil kira belanja sewa rumah, kos makan minum, bil elektrik dan air.
Setakat ini sahajalah penerangan saya. Diharap dapat menjawab persoalan rakan-rakan yang bertanya kepada saya sebelum ini agar anda lebih memahami situasi sebenar apabila memohon pekerjaan di sana.
Nota:
Jangan salah anggap penulisan saya di atas. Saya tak bermaksud kerja di sana terlalu teruk. Elemen-elemen yang saya senaraikan di atas adalah sebagai persediaan untuk membuang segala sifat manja, bersedia untuk menjadi kental supaya kita senang menerima budaya kerja mereka.
Saya beritahu tuan puan, saya perlukan tempoh setahun sahaja untuk membiasakan diri. Sekiranya anda boleh melepasi cabaran-cabaran awal ini, insyaAllah cabaran lain akan menjadi lebih mudah untuk ditempuhi.
Maaf selepas setahun bekerja di sana saya dah nekad untuk terus bekerja dan tinggal di sana kerana terlalu seronok. Tetapi Allah taala mempunyai perancangan lain yang lebih baik untuk saya.
loading...
0 Response to "Mahu Bekerja Di Jepun? Anda Mesti Lulus 16 Elemen Utama Ini Dahulu"
Post a Comment