Ini Prosedur Siasatan Apabila Kemalangan Maut Berlaku Menurut Peguam

loading...



Apabila berlaku sesuatu kemalangan yang dahsyat dan mengerikan terutama yang membabitkan banyak kematian dan kecederaan sudah tentu ianya akan menjadi topik perbualan yang hangat di dalam negara.
Media massa dan sosial akan melaporkan kemalangan tersebut dan masyarakat menjadi prihatin. Semua akan bercakap dan memberi komen masing-masing. Terdapat komen yang baik namun ada juga komen berbaur perkauman tambahan jika berlainan kaum yang terlibat di dalam kemalangan tersebut.
Komen tersebut datang daripada pelbagai latar belakang dan pendidikan masyarakat. Betul atau salah, tidak diketahui kerana siasatan masih belum sempurna dah mahkamah masih belum membuat sebarang keputusan.
Yang pasti masyarakat kita sering mendahului keputusan mahkamah dalam menjatuhkan hukuman siapa yang bersalah.

Rempuh basikal

Berbalik dengan kisah kemalangan yang berlaku baru-baru ini melibatkan mangsa berbasikal dengan pemandu kereta.
Semasa kejadian, orang ramai datang. Ada yang cuba menolong, ada sebagai pemerhati, ada juga yang sibuk merakam video dan gambar. Ada yang meratapi mangsa yang bergelimpangan di atas jalan raya.
Itu semua resam masyarakat kita di tempat kemalangan.
Ambulan sampai dan kenderaan polis juga sampai di tempat kemalangan.
Pihak polis akan mengawal lalu lintas.
Bagi yang sakit atau cedera, mereka akan dibawa ke hospital dengan ambulan.
Bagi yang mati, mereka akan ditinggalkan di situ bagi siasatan pihak polis dan akan dibawa ke hospital dengan kenderaan polis kemudian.

Pegawai penyiasat

Pegawai penyiasat atau investigating officer (IO) trafik akan sampai bersama anggota lain terutama jurugambar.
Berjawatan Inspektor atau ASP, beliau hadir bagi menyiasat kes kemalangan maut.
IO akan membuka siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Penangkutan Jalan 1987 kerana terdapat kematian di dalam kemalangan tersebut.
Bagi tujuan siasatan ini, panduan kepada IO ialah menyiasat sama ada wujud pemanduan yang MERBAHAYA atau MELULU oleh pemandu kenderaan yang terlibat yang telah menyebabkan kematian kepada pengguna jalan raya yang lain.
IO juga akan menyiasat jika terdapat sebarang SUMBANG CUAI oleh mangsa atau si mati yang mungkin wujud yang mungkin turut menyumbangkan kepada punca kemalangan dan kematian mereka.
Faktor sumbang cuai oleh mangsa ini juga mungkin akan membantu pihak pendakwaraya atau mahkamah bagi menurunkan atau meminda pertuduhan ke atas tertuduh iaitu pemandu kenderaan (daripada pertuduhan asal kepada pertuduhan yang lebih rendah hukumannya) sewaktu tuduhan dikemukakan atau semasa perbicaraan kelak.
Sebagai contoh pertuduhan di bawah Seksyen 41(1) boleh dipinda kepada Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau Rule 10 yang lebih ringgan hukumannya.
Wajar dinyatakan bahawa status, pekerjaan, bangsa atau agama pemandu berkenaan tidak sedikitpun mempengaruhi atau membantu siasatan ke atas beliau oleh IO.
Begitu juga sewaktu kes di bicarakan di mahkamah. Panduan mahkamah ialah melihat sama ada terdapat pemanduan secara melulu atau berbahaya oleh pemandu atau tertuduh dan sumbang cuai oleh mangsa kemalangan yang lain.
Apabila tiba di tempat kejadian, IO akan mengarahkan jurugambar merakam gambar mangsa kemalangan, tempat kemalangan dan kenderaan terlibat.
IO akan membuat siasatan ke atas jalan raya di tempat kejadian.
Antara tanggungjawab IO ialah akan mengambil perihatian kepada segala HAL KEJADIAN di tempat kejadian termasuk jenis jalan, saiz jalan, keadaan lalu lintas semasa itu, lengang atau sibuk. Pencahayaan di tempat kemalangan dan lain lain.

Siasatan IO

Antara siasatan IO ialah;
Siasatan terpenting ialah bagi mengetahui di mana tempat mula mula berlaku kemalangan (point of impact).
1. IO juga akan menyiasat arah pergerakan kenderaan kenderaan terlibat, mengikut atau melawan arus.
2. Sama ada mangsa berlumba sesama mereka.
3. Sama ada mangsa menghalang laluan kenderaan lain semasa berada di atas jalan raya.
4. Kelajuan kenderaan yang terlibat dan sama ada pemanduan pemandu kenderaan berkenaan tidak diganggu oleh penggunaan telefon dan sebagainya.
5. Jika terdapat sebarang pelanggaran undang-undang lalu lintas dibuat pemandu atau mangsa.
6. Sama ada terdapat reflector atau pemantul cahaya atau lampu kenderaan terlibat dipasang terutama jika kemalangan berlaku pada waktu malam.
7. Jika ada CCTV di tempat kemalangan.
8. Mengukur jarak kenderaan dengan kenderaan lain yang terlibat.
9. Mengukur jarak mayat dengan kenderaan terlibat.
10. Mengukur jarak kesan brek (jika ada),
11. Mengukur keluasan jalan,
12. Melihat papan tanda had laju (jika ada)
13. Menyiasat had kelajuan kenderaan di situ,
14. Menyiasat keberadaan pecahan kaca yang boleh dikaitkan dengan point of impact,
15. Menyiasat jika ada saksi mata atau saksi bebas di tempat kejadian yang melihat kejadian dan lain lain lagi.

Keberadaan mangsa

Perlu dinyatakan bawah Akta Pengangkutan Jalan ini, keberadaan mangsa atau existence pada waktu malam atau siang hari atau lewat pagi di tempat kemalangan adalah tidak menyalahi undang undang asalkan mereka tidak menganggu laluan perjalanan pengguna jalan yang lain.
Jika ada kesalahan sekalipun dilakukan atas keberadaan kanak kanak ini pada waktu yang salah (pada awal lagi mereka sepatutnya berada di rumah) maka mereka mungkin melakukan kesalahan di bawah Akta Kanak Kanak 2001 dan bukan bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 ini.
Dalam kata lain jika pemandu melanggar mereka dalam cara pemanduan berbahaya atau melulu pada waktu itu maka pemandu akan dipertanggungjawabkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan selagimana kanak kanak ini tidak menghalang laluan atau perjalanan pemandu, menyumbangcuai atau menunggang basikal dalam keadaan cuai, berbahaya atau gagal memberi perhatian kepada pengguna jalan raya yang lain.
Kesemua siasatan ini perlu bagi mengumpul sebanyak mungkin bukti bagi tujuan menuduh pemandu di mahkamah kelak.

Kenderaan, mangsa, suspek dan saksi

Setelah selesai siasatan di tempat kejadian, IO akan menguruskan dengan syarikat menunda kenderaan bagi membawa kenderaan terlibat ke balai polis.
Kenderaan terlibat seterusnya akan di bawa ke PUSPAKOM pada hari yang akan diputuskan oleh IO bagi tujuan siasatan terutama melihat kesan kemalangan dan keadaan kenderaan terlibat selamat atau tidak digunakan sebelum kemalangan berlaku.
Laporan PUSPAKOM akan diserahkan kepada IO setelah selesai pemeriksaan kenderaan terbabit.
IO juga akan ke hospital bagi menguruskan bedah siasat yang akan dilakukan oleh pegawai perubatan.
Pegawai perubatan akan menyediakan laporan post mortem kemudiannya terutama untuk mengetahui punca kematian (cause of death) mangsa yang terlibat dalam MVA (motor vehicle accident).
Di balai polis pula, pemandu kenderaan akan membuat laporan polis.
Beliau akan menceritakan apa yang berlaku mengikut versi beliau. Mungkin versi pemandu benar, ditokok tambah atau direka. Semua ini akan disiasat dengan penuh teliti oleh IO dibantu oleh bukti-bukti lain yang ada.
Bagi kes kemalangan maut, IO akan menggunakan budi bicara mereka sama ada perlu menahan reman suspek iaitu pemandu kenderaan bagi membantu siasatan atau sebaliknya.
Jika suspek perlu ditahan reman maka suspek akan dibawa ke Mahkamah dan kelaziman tempoh reman adalah tidak melebihi 4 hari.
Semasa reman atau selepas membuat laporan polis, IO boleh mengambil sampel darah suspek dan membuat ujian pernafasan kepada suspek. Darah suspek akan dihantar ke makmal untuk ujian.
Kesemua ujian ini perlu bagi melihat sama ada terdapat kesan dadah atau alkohol yang melebihi dari paras yang dibenarkan oleh undang-undang. Pada peringkat inilah pentingnya ujian-ujian ini bagi melihat sama ada pemandu memandu kenderaan dalam keadaan waras atau mabuk.
Pihak polis juga akan membuat siasatan terperinci di atas laporan yang dibuat suspek, saksi-saksi lain bagi mengetahui kejadian sebenar untuk dicadangkan kepada timbalan pendakwaraya sama ada satu kes di bawah Seksyen 41(1) dapat dipertuduhkan ke atas suspek setelah selesainya tempoh reman.
Suspek juga boleh diberikan jaminan polis, selepas berakhir reman, sementara menunggu bukti-bukti diperolehi dan jika terdapat bukti yang kukuh maka suspek akan dipanggil ke mahkamah bagi tujuan dituduh.
Kuasa menuduh suspek adalah budi bicara mutlak pihak pendakwaraya.
Pada peringkat ini pentingnya pihak-pihak yang melihat bagaimana kemalangan berlaku tampil ke balai polis untuk membuat laporan polis dan akan dirakamkan percakapan mereka oleh IO dan bukannya membuat hebahan di media masa dan sosial. Hebahan ini tidak akan membantu IO bagi mendapatkan gambaran kemalangan yang berlaku.
Adalah sukar pada peringkat sebegini awal, untuk mengetahui siapa yang bersalah atau tidak.
Jika suspek dituduh di mahkamah maka suspek akan dibacakan pertuduhan sama ada ingin mengaku bersalah atau tidak dan meminta kes untuk dibicarakan.
Coretan akan bersambung dengan prosiding di mahkamah.
Coretan ini boleh dikongsi rakan rakan.
Terima kasih.
loading...

0 Response to "Ini Prosedur Siasatan Apabila Kemalangan Maut Berlaku Menurut Peguam"

Post a Comment

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close